KPM siap siaga hadapi gelombang ke-2 banjir

KPM siap siaga hadapi gelombang ke-2 banjir

Prosedur operasi standard Op Payung diaktifkan bagi memastikan Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia dijadual 9, 10 dan 12 Dis berjalan lancar.

banjir kemaman
MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai esok. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di tujuh negeri.

KPM dalam kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap Jabatan Pendidikan Negeri dan pejabat pendidikan daerah di negeri terlibat banjir diarah meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutama di kawasan berisiko tinggi.

Menurut KPM semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang berkuat kuasa serta merujuk panduan pengurusan bencana banjir institusi pendidikan KPM yang merangkumi tindakan perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.

Arahan tersebut melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai esok hingga 14 Dis ini.

Sementara itu, KPM turut memaklumkan prosedur operasi standard Op Payung diaktifkan bagi memastikan Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual pada 9, 10 dan 12 Dis berjalan lancar.

“KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.