Jumlah mangsa banjir terus menurun malam ini

Jumlah mangsa banjir terus menurun malam ini

Namun keadaan di Perak menyaksikan sedikit peningkatan bilangan mereka yang terjejas banjir.

Pusat Penempatan Sementara
Jumlah mangsa terjejas banjir di Kelantan menurun kepada 2,915 orang yang ditempatkan di empat PPS setakat 8 malam ini berbanding 3,704 orang petang tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Kelantan, Kedah, Johor dan Melaka semakin pulih apabila jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri terus berkurangan malam ini berbanding petang tadi.

Namun, keadaan di Perak menyaksikan sedikit peningkatan bilangan mereka yang terjejas bencana itu.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) memaklumkan sembilan kematian direkodkan akibat bencana musim tengkujuh setakat 8 malam ini.

Jumlah mereka terjejas banjir di Kelantan menurun kepada 2,915 orang yang ditempatkan di empat PPS setakat 8 malam ini, berbanding 3,704 orang petang tadi namun negeri itu masih merekodkan mangsa tertinggi berbanding negeri lain.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jajahan Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,199 mangsa daripada 634 keluarga, diikuti Pasir Mas dengan seramai 716 daripada 223 keluarga.

Portal infobanjir.water.gov.my oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan paras air Sungai Golok di Tumpat walaupun masih melepasi paras bahaya namun mencatatkan penurunan iaitu 3.04m setakat ini berbanding 3.08m petang tadi.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 784 orang daripada 223 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 970 orang daripada 277 keluarga, petang tadi.

Beliau berkata seramai 746 orang daripada 211 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Kota Setar, manakala 38 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kubang Pasu.

“Sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Gunung ditutup pada 8 malam ini selepas semua mangsa banjir yang ditempatkan di situ sebelum ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Situasi banjir di Johor turut menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 436 orang setakat 8 malam ini, berbanding 544 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani, menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 14 PPS masih beroperasi termasuk 11 PPS di Segamat yang menempatkan 304 mangsa daripada 92 keluarga.

“Seramai 100 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di dua PPS di Tangkak dan 32 orang daripada 10 keluarga pula kekal berteduh di sebuah PPS di Batu Pahat,” katanya yang turut memaklumkan sebuah PPS iaitu Balai Raya Taman Suria di Segamat telah ditutup setelah semua mangsa dibenarkan pulang.

Di Melaka, jumlah mangsa menurun kepada 114 orang daripada 29 keluarga pada 8 malam ini berbanding 123 orang daripada 32 keluarga pada 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan semua mereka melibatkan mangsa terjejas di sembilan lokasi di daerah Jasin dengan seramai 103 orang daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu, manakala selebihnya berlindung di PPS Seri Mendapat.

Sementara itu, Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini meningkat sedikit kepada 131 mangsa di empat PPS berbanding 126 mangsa petang tadi.

“Jumlah mangsa banjir di daerah Perak Tengah dan Kinta kekal dengan masing-masing seramai 92 mangsa daripada 31 keluarga serta 34 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebuah lagi PPS turut dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4, Segari di daerah Manjung, dengan seramai lima mangsa membabitkan tiga keluarga berlindung di PPS berkenaan yang diaktifkan sejak 4.45 petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.