
Pengerusi Zahid Hamidi berkata, pelan dibuat itu bersifat strategik, relevan dan tidak lapuk dek zaman, sambil menambah gabungan tidak boleh hanya mengharapkan kejayaan segera tanpa perancangan teliti.
“Kita tiada masa. Kita perlu segera menyusun semula kekuatan parti dan mengukuhkan kembali sokongan rakyat. Jangan terbuai dengan kejayaan pertempuran-pertempuran kecil sehingga kita lupa agenda untuk memenangi perang besar,” katanya ketika berucap pada Ulang Tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau berkata, penjenamaan semula BN mesti mencerminkan transformasi selari cabaran semasa, justeru dengan pendekatan diambil, BN harus membina identiti sebagai kuasa dinamik politik negara, sesuai dengan kehendak zaman.
Katanya, menuju 50 tahun ke hadapan BN perlu menyusun semula hala tuju dengan matlamat jelas selaras kehendak masyarakat berbilang bangsa.
“Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat. Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat,” katanya,
Sementara itu, Zahid berkata BN perlu memperkemaskan pendekatan pemilihan calon terutama memberikan keutamaan kepada mereka yang aktif di lapangan.
“Kejayaan di Nenggiri dan Mahkota adalah tindakan tepat mengikut kehendak rakyat. Jadi, kita susun sebaiknya, kenal pasti calon berpotensi lebih awal.
“Saya yakin dengan gerak langkah baharu ini BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.