PLKN 3.0 dilaksana berdasarkan kajian terperinci

PLKN 3.0 dilaksana berdasarkan kajian terperinci

Membandingkan PLKN 3.0 dengan program kerahan tenaga negara-negara luar merupakan perbandingan yang tidak setara, tegas menteri pertahanan.

plkn
Kementerian Pertahanan akan melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, IPG dan beberapa politeknik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dan Kementerian Pertahanan (Kementah) menjalankan kajian terperinci secara kuantitatif dan kualitatif berhubung pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, kata Menteri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata beberapa kajian akademik itu, bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan selain statistik penglibatan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme, menunjukkan hasil positif.

“PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baharu untuk warganegara Malaysia berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun 2025. Konsep dan format baharu ini mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN yang terdahulu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjawab cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Saifuddin Abdullah, supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.

Khaled berkata objektif pelaksanaan semula program itu jelas sebagai wadah pembentukan generasi baharu yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan.

“Pada masa yang sama, PLKN 3.0 berperanan dalam memupuk minat anak muda menceburi bidang ketenteraan serta menyumbang kepada negara dan atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata.

“Tetapi satu program yang turut merangkumi Modul Kenegaraan (elemen jati diri, elemen cinta negara dan elemen perpaduan) bagi memenuhi objektif yang telah digariskan,” katanya.

Beliau berkata membandingkan PLKN 3.0 dengan program kerahan tenaga negara-negara luar merupakan perbandingan yang tidak setara, memandangkan pelaksanaan program berkenaan lebih memfokuskan pada perkhidmatan ketenteraan yang aktif untuk satu tempoh yang panjang.

“Bagi memastikan segala kelemahan semasa pelaksanaan PLKN yang terdahulu, Kementerian Pertahanan kini sedang membuat persediaan rapi untuk melaksanakan latihan percubaan dan projek perintis bagi PLKN 3.0 di kem-kem Askar Wataniah yang akan bermula seawal Jan 2025,” katanya.

Bagi meminimumkan perbelanjaan, Kementah akan melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa politeknik.

“Kementah berpandangan bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.

“Secara rumusan, PLKN 3.0 penting dan kritikal dalam pembinaan negara bangsa. Keadaan sekarang merupakan satu situasi yang sangat menyokong dan mewajarkan pelaksanaan semula program ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.