Pelan penstrukturan semula tak batal tapi sedang diperhalusi, jelas LTAT

Pelan penstrukturan semula tak batal tapi sedang diperhalusi, jelas LTAT

LTAT berkata pelan itu mencerminkan kepekaan dan daya tindaknya dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera berkata pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen semalam sedang diperhalusi untuk menangani cabaran semasa. (Gambar web LTAT)
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen semalam, tidak dibatalkan sebaliknya sedang diperhalusi untuk menangani cabaran semasa.

Dalam kenyataan, LTAT berkata pelan penstrukturan baharu itu mencerminkan kepekaan dan daya tindaknya dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan, dan membina portfolio yang kompetitif demi kepentingan pemegang taruh.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membangkitkan kebimbangan mengenai pelan strategik LTAT 2023-2025 yang sudah ditamatkan 10 bulan lalu, namun sehingga kini tiada sebarang pelan alternatif diumumkan.

Ahli Jawatankuasa itu Halimah Ali berkata kelewatan terbabit mendedahkan LTAT secara berterusan kepada rosot nilai yang sudah berlarutan sejak lima tahun lepas.

Beliau berkata PAC juga mendapati terdapat beberapa urusniaga penjualan aset yang sedang dilaksanakan, tetapi tidak diumumkan secara terbuka oleh Boustead, anak syarikat LTAT.

Halimah berkata terbaharu, EcoWorld mengumumkan urusniaga pembelian tanah milik anak syarikat Boustead bernilai RM742 juta yang bakal menjana nilai pembangunan sehingga RM4.6 bilion kepada Ecoworld, selain pelan penjualan tanah ladang milik Boustead Plantations Berhad di Batu Kawan, Pulau Pinang kepada syarikat Ideal Properties Berhad.

Mengulas perkara itu, LTAT menegaskan bahawa inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik dan bukannya penyelesaian jangka pendek.

“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan ianya selaras dengan cadangan PAC yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.

“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT, adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan, dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang,” kata syarikat itu.

Bagi isu penjualan tanah ladang di Batu Kawan, LTAT menegaskan syarikat kumpulan LTAT tidak memiliki sebarang tanah di kawasan berkenaan dan kenyataan di dalam laporan PAC itu tidak benar dan mengelirukan.

Menyentuh penjualan tanah kepada EcoWorld, Boustead Properties telah menjemput 19 syarikat, termasuk GLC dan firma swasta untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan, dan hanya EcoWorld telah mengemukakan cadangan setelah melalui tender ketat dan telus.

“LTAT kekal komited untuk menjaga kepentingan pencarumnya dan memastikan keselamatan kewangan mereka.

“Melalui penekanan terhadap pertumbuhan strategik, pengurusan aset yang berhemah dan berhikmah, dan kelestarian jangka panjang dana, LTAT melaksanakan langkah bertanggungjawab untuk membina masa depan yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan semua pencarum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.