Nelayan Pahang bidas exco Terengganu bangkit isu tangkap ikan

Nelayan Pahang bidas exco Terengganu bangkit isu tangkap ikan

Persatuan Nelayan Pahang berkata Azman Ibrahim membuat kenyataan tidak adil kerana nelayan Terengganu juga menangkap ikan di perairan negeri lain.

Jeti LKIM Kemunting antara lokasi pendaratan hasil tangkapan ikan di pantai timur sejak 1998.
PETALING JAYA:
Persatuan Nelayan Pahang membidas kenyataan Exco Terengganu Dr Azman Ibrahim yang mendakwa banyak hasil tangkapan di perairan negeri itu didaratkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting, Kuantan.

Pengerusinya Zulkiflee Md Yusof menyifatkan hantaran Azman sebagai tidak adil kerana mereka atau mana-mana pegawai kerajaan tidak pernah membangkitkan kehadiran ramai nelayan Terengganu di perairan Pahang.

“Tak patut timbul kerana kita (nelayan) ini nak pastikan bekalan makanan untuk semua bukan pasaran Pahang sahaja,” katanya mengulas hantaran Azman yang memegang portfolio pertanian, industri asas tani dan pembangunan desa Terengganu di X.

Azman dalam ciapan di aplikasi itu menulis: “Tahukah anda bahawa banyak bot-bot nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan di LKIM Kemunting Kuantan, sebenarnya mereka menangkap ikan di Perairan Terengganu tapi hasilnya didaratkan di Kuantan.”

Beliau yang juga Adun Jabi turut menyertakan tangkapan layar hantaran di Facebook oleh sebuah akaun yang berkongsi fakta pendaratan ikan paling tinggi di pantai timur bukan lagi di Chendering (Terengganu) di Tok Bali (Kelantan) sebaliknya LKIM Kemunting.

Jeti LKIM Kemunting yang beroperasi sejak 1998 berkeupayaan menampung aktiviti pendaratan sehingga 400 bot dalam satu masa.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuantan Tuan Sulong Tuan Jusoh berkata nelayan Pahang dan Terengganu berkongsi rezeki dengan menangkap hasil laut di perairan dua negeri terbabit.

“Nelayan Terengganu datang tangkap ikan di Pahang, Johor dan Kelantan. Nelayan Pahang pun begitu juga,” katanya yang meminta Azman tidak lagi membangkitkan isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.