‘Kenyataan palsu’, Zaliha nafi sahkan adendum tahanan rumah Najib

‘Kenyataan palsu’, Zaliha nafi sahkan adendum tahanan rumah Najib

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kenyataan media yang tersebar adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkannya.

statement palsu
Kenyataan media berkait adendum tahanan rumah Najib Razak kononnya dikeluarkan oleh Dr Zaliha Mustafa seperti tersebar di media sosial adalah palsu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menafikan mengeluarkan kenyataan media berkait adendum tahanan rumah Najib Razak yang tersebar pagi tadi.

“Untuk makluman, kenyataan media ini adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan palsu itu.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” kata Zaliha.

Menerusi kenyataan palsu itu, Zaliha sebagai menteri dipertanggungjawabkan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dilaporkan mengesahkan adendum dikeluarkan bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 29 Jan adalah sahih dan benar.

“Saya memohon agar semua pihak bertenang sementara menunggu keputusan Mahkaman Rayuan pada 6 Januari 2025 berkaitan perihal tersebut,” menurut kenyataan yang tersebar.

Semalam, Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu di Mahkamah Rayuan bagi membuktikan wujudnya perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Bekas perdana menteri itu bergantung kepada bukti baharu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan titah diraja yang dikeluarkan oleh Sultan Abdullah.

Anak sulung Najib, Mohamad Nizar juga didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan semalam, peguam Shafee Abdullah berkata dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.