AS sekat saya peroleh dokumen bicara Roger Ng, kata Najib

AS sekat saya peroleh dokumen bicara Roger Ng, kata Najib

Najib Razak berkata, tanpa dokumen penting itu, dia terpaksa menghadapi perbicaraan 1MDB dengan sumber terhad.

Najib Razak
Najib Razak memohon dokumen perbicaraan Roger Ng untuk ‘mendedahkan maklumat tentang peranan pegawai 1MDB, aliran dana dan identiti konspirator bersama dan syarikat tersedia’ yang terlibat dengan 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat enggan menzahirkan dokumen penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan 1MDB.

Najib berkata, dia memfailkan permohonan di mahkamah daerah New York pada 2021 untuk memperoleh dokumen yang digunakan dalam perbicaraan 1MDB bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, yang dijatuhi hukuman 10 tahun kerana rasuah tahun lepas.

Najib memohon dokumen perbicaraan itu untuk ‘mendedahkan maklumat tentang peranan pegawai 1MDB, aliran dana dan identiti konspirator bersama dan syarikat tersedia’ yang terlibat dengan 1MDB.

Katanya, bekas rakan sekerja Ng, Tim Leissner, mengaku membayar rasuah untuk transaksi 1MDB. Leissner, yang mengaku bersalah bersubahat dalam rasuah dan pengubahan wang haram, sedang menunggu hukuman dijatuhkan.

Najib memberitahu Mahkamah Tinggi, sepina telah disampaikan kepada Leissner untuk warga Jerman itu menzahirkan dokumen berkaitan 1MDB.

“Bagaimanapun, peguamnya memohon lanjutan, dan DoJ (Jabatan Kehakiman AS) turut memfailkan usul untuk campur tangan dan menangguhkan prosiding (yang dibenarkan).

“Kerajaan (AS) berhujah, pihaknya mempunyai kepentingan yang besar dalam melindungi integriti kes jenayah yang berterusan terhadap Goldman Sachs, Jho Low (Low Taek Jho), Ng dan Leissner,” kata Najib yang mendakwa tindakan DoJ itu ‘menangguhkan’ keadilan baginya.

Tanpa dokumen penting ini, katanya, dia terpaksa menghadapi pendakwaan dengan sumber yang terhad.

Najib juga mendakwa aduan pelucuthakan sivil DoJ pada 2016 untuk memperoleh aset bernilai lebih USD1 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB bermotifkan politik.

Menurut DoJ, lebih USD3.5 bilion milik 1MDB ‘didakwa diseleweng oleh pegawai berjawatan tinggi 1MDB dan sekutu mereka’.

Pegawai Perbendaharaan ‘gagal jalankan tugas’

Najib juga berkata, seorang bekas pegawai kanan Perbendaharaan gagal melaksanakan tugasnya menyemak kelulusan 1MDB mendapatkan pinjaman lanjut sebanyak RM6.17 bilion untuk membeli saham dalam sebuah firma pengeluar tenaga bebas.

Katanya, dia tidak pernah memberikan kelulusan sedemikian kepada 1MDB pada 2012, dan bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Siti Zauyah Desa juga memberi keterangan beliau tidak tahu tentang perkara itu.

“Prosedur biasa untuk kelulusan pinjaman sedemikian memerlukan surat-surat didraf oleh unit Perbendaharaan yang berkaitan, dalam kes ini Menteri Kewangan Diperbadankan bawah Siti Zauyah.

“Jelas bahawa Siti Zauyah mahupun pegawai-pegawainya tidak mengambil sebarang langkah untuk bertanya dengan pengurusan 1MDB mengenai surat (kelulusan) itu.

“Agak kurang menyenangkan apabila Siti Zauyah seolah-olah menggambarkan saya berniat jahat kerana dia dan jabatannya tidak tahu (tentang perkara itu),” katanya.

Tambahnya, sekiranya unit Siti Zauyah menjalankan tugas dengan betul, mereka boleh menghalang kelulusan itu.

Pada 2022, Siti Zauyah memberi keterangan bahawa pegawai 1MDB melaporkan operasi mereka terus kepada Najib, bukan kepada unitnya yang menyelia syarikat milik kerajaan.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 9 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.