5G: DNB diberi tempoh kemuka rancangan perniagaan

5G: DNB diberi tempoh kemuka rancangan perniagaan

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tempoh itu diberikan kepada DNB susulan perdana menteri mahu projek tersebut disegerakan.

5g
Semalam perdana menteri berkata pelaksanaan rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada DNB dan syarikat telekomunikasi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Digital Nasional Bhd (DNB) diberi suatu tempoh untuk mengemukakan perancangan perniagaan baharu susulan kelewatan projek rangkaian 5G kedua.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata tempoh itu diberikan kepada DNB susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu projek tersebut disegerakan.

“Mereka mohon hingga Januari tetapi perdana menteri minta diberikan pada bulan ini,” kata jurucakap kerajaan pada sidang media di kementerian.

Fahmi berkata, setakat ini hanya U Mobile Sdn Bhd sudah memberikan perancangan perniagaan yang baharu.

Semalam, Anwar mengakui berang dengan isu kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkannya terpaksa melepaskan kemarahan dalam satu mesyuarat kelmarin.

Anwar berkata, pelaksanaan MyDigital ID lewat setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada DNB dan syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, Fahmi berkata Anwar juga mahu projek MyDigital ID disegerakan.

Beliau berkata, dalam masa dua minggu lagi satu keputusan akan dibuat untuk memaklumkan tindakan akan dilakukan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran penggunanya.

Katanya, setakat semalam seramai 1.319 juta mendaftar MyDigital ID.

“Perdana menteri rasa pendaftaran terlalu rendah. Keperluan usaha lipat kali gandakan akan dibuat untuk tingkatkan jumlah pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.