Pengasas FashionValet, suami didakwa pecah amanah RM8 juta

Pengasas FashionValet, suami didakwa pecah amanah RM8 juta

Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar yang masing-masing berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Datin Vivy Yusof dan suami
Vivy Yusof dan suaminya Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM8 juta.
KUALA LUMPUR:
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Vivy Yusof dan suami Fadzaruddin Shah Anuar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM8 juta.

Vivy atau nama sebenar Vivy Sofinas Yusof dan Fadzaruddin yang masing-masing berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa membuat bayaran RM8 juta daripada FashionValet kepada 30 Maple Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan jenama tudung mewah Duck, tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Public Bank di Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018, atas kapasiti sebagai pengarah FashionValet.

Wang itu didakwa diambil daripada dana pelaburan yang diamanahkan dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd dan pengurus aset Permodalan Nasional Bhd.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dan memerintahkan mereka melaporkan diri di pejabat SPRM di Kuala Lumpur sebulan sekali.

Mereka juga diminta menyerahkan pasport sehingga kes itu selesai.

Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pasukan pendakwaan manakala Ashok Athimulan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.