Unesco iktiraf kebaya warisan tidak ketara

Unesco iktiraf kebaya warisan tidak ketara

Pencalonan kebaya dibuat secara bersama oleh Malaysia bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

kebaya nyonya
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyifatkan kejayaan itu hasil usaha kolektif dan kerjasama erat dengan anggota negara Asean yang bersama mempromosi kebaya sebagai simbol warisan serantau. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara, iaitu kebaya bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara itu diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang sedang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Dis.

Menurutnya, pencalonan “Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices” di bawah kategori “Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity” adalah secara bersama Malaysia dengan empat negara itu.

“Penyenaraian yang cukup berprestij itu telah diputuskan oleh IGC ICH yang dianggotai 24 negara di bawah Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003.

“Pengiktirafan ini lebih bermakna apabila badan penilaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf dosir pencalonan kebaya sebagai contoh dosir pencalonan jitu dan berprestij bagi fail pencalonan bersama.”

Menurut Motac, penyenaraian itu berkenaan menjadikan tiga pencalonan secara bersama berjaya diperoleh Malaysia, selepas pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).

Pada masa sama, katanya, pengiktirafan ini turut meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi.

Motac turut menyifatkan kejayaan itu hasil usaha kolektif, termasuk kerjasama erat dengan anggota negara Asean seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand yang bersama mempromosi kebaya sebagai simbol warisan serantau.

la juga tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan seni budaya itu terus dilestarikan bagi generasi akan datang.

“Selain itu, kejayaan ini juga hasil kerjasama strategik antara keluarga besar Motac, termasuk Jabatan Warisan Negara, Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke Unesco dan Kementerian Luar.

“Ini juga mempamerkan kepimpinan Malaysia di persada dunia sebagai usaha untuk menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif Unesco bagi 2025-2029.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.