Dr M hantar surat kepada Singapura sebelum keputusan Kabinet, kata RCI

Dr M hantar surat kepada Singapura sebelum keputusan Kabinet, kata RCI

RCI mendapati bekas perdana menteri bertindak secara unilateral dalam menggugurkan permohonan undang-undang berhubung keputusan ICJ pada 2008 berkait Batu Puteh.

batu puteh
RCI berkata Dr Mahathir Mohamad tidak pernah dinasihatkan AGC atau perunding yang dilantik kerajaan bahawa Malaysia mempunyai kes ‘sangat lemah’ dalam tuntutan wilayahnya terhadap Batu Puteh. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad secara unilateral memutuskan tidak meneruskan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 mengenai Batu Puteh, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

RCI berkata perdana menteri ketika itu telah menulis surat kepada peguam cara negara pada 21 Mei 2018, menyatakan bahawa: “Pada pandangan saya, usaha ini tidak perlu diteruskan”, merujuk kepada permohonan ICJ.

Peguam cara negara kemudian memaklumkan Singapura bahawa Malaysia akan menggugurkan kedua-dua permohonan undang-undang, kata suruhanjaya itu dalam laporannya dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

RCI itu berkata Singapura dimaklumkan mengenai perkara ini pada 9 pagi pada 23 Mei 2018 di mana Kabinet hanya bermesyuarat pada 9.30 pagi hari yang sama dan membincangkan isu itu kemudian dalam mesyuarat di bawah ‘hal-hal lain.

Ia menambah bahawa Kabinet dalam mesyuaratnya ‘sekadar mengambil maklum dan alasan perdana menteri’.

“Peguam cara negara memaklumkan Singapura tentang hasrat Malaysia menggugurkan dua permohonan itu berdasarkan surat Mahathir pada 21 Mei, bukan keputusan Kabinet ketika bermesyuarat pada 23 Mei,” kata laporan RCI itu.

Ia juga memetik surat daripada peguam negara kepada perdana menteri pada 24 Mei 2018, yang menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan Singapura berdasarkan surat Mahathir pada 21 Mei.

“Mahathir tidak mempersoalkan, menafikan atau membetulkan kandungan surat peguam negara kepada beliau untuk menjelaskan bahawa surat 21 Mei beliau hanyalah pendapat peribadi beliau, bukan perintah atau keputusan.

“Berdasarkan sebab-sebab ini, suruhanjaya tidak boleh menerima dakwaan Mahathir bahawa surat 21 Mei itu hanyalah pendapat peribadi beliau. Sebaliknya, surat itu adalah keputusan,” kata RCI.

Mahathir telah menafikan bertindak secara unilateral dalam memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan undang-undang, berkata beliau tidak membuat keputusan sehingga dia mengemukakannya kepada Kabinet.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berunding dengan beberapa pakar, termasuk lima peguam kanan dari United Kingdom (UK), yang berpandangan bahawa Malaysia mempunyai kes lemah.

Mahathir berkata pakar undang-undang antarabangsa Brendan Plant, yang dilantik sebagai perunding oleh Putrajaya, telah memberitahunya Malaysia kekurangan ‘peluru sakti’ yang diperlukan untuk memastikan kemenangan dalam kes itu.

Bagaimanapun, RCI berkata Mahathir tidak pernah dinasihatkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) atau perunding yang dilantik kerajaan bahawa Malaysia mempunyai kes ‘sangat lemah’ dalam tuntutan wilayahnya terhadap Batu Puteh.

Suruhanjaya itu berkata Plant juga menafikan pernah bertemu Mahathir secara bersemuka sebelum taklimat mengenai kes itu.

Semasa prosiding RCI, Plant berkata beliau menyebut Malaysia kekurangan ‘peluru sakti’ adalah untuk menunjukkan bahawa tiada jaminan untuk menang di ICJ.

“Saya mungkin telah ditanya (oleh Mahathir) tentang prospek kejayaan.

“Saya menyatakan semula pendirian kami bahawa terdapat kes yang boleh dipertikaikan, bahawa kami mempunyai asas yang boleh dipercayai untuk membawa tuntutan yang mempunyai merit tetapi, sudah tentu, kami tidak boleh menjamin kemenangan.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa terdapat peluru sakti yang akan menjamin 100% penemuan ICJ akan memihak kepada kami, tetapi terdapat kes boleh dipercayai untuk dikemukakan. Itulah kebenaran litigasi di seluruh dunia,” katanya, menurut laporan RCI yang didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.