Cederakan isteri, suami Zahnita Wilson mengaku tak salah

Cederakan isteri, suami Zahnita Wilson mengaku tak salah

Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Mei lalu.

Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor
Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Zahnita Wilson dalam kejadian baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suami kepada bekas model dan pelakon Zahnita Wilson dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dan menggunakan dadah.

Tertuduh, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, lapor Sinar Harian.

Bapa kepada empat anak itu, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussien Wilson di sebuah rumah di Lorong Indera Mahkota, pada 8.20 pagi, 7 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan menanggung empat anak dan ibunya yang sudah tua.

Majistret Tengku Eliana kemudian membenarkan kontraktor itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Januari depan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh selepas pertuduhan menggunakan dadah dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Dia didakwa menggunakan dadah berbahaya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan, pada 5.45 petang, 2 Disember lalu.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama dan dibaca bersama seksyen 38B akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,600 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 Februari depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.