‘Video tak sebut nama Hajiji, kenapa perlu letak jawatan?’

‘Video tak sebut nama Hajiji, kenapa perlu letak jawatan?’

Pemuda Gagasan Rakyat tegaskan tiada keperluan Hajiji Noor lepas jawatan kerana namanya tidak disebut dalam video tersebar berkait skandal perlombongan mineral.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Fairuz Renddan berkata sehingga kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak memanggil Hajiji Noor beri keterangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada keperluan bagi Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor melepaskan jawatan memandangkan namanya langsung tidak disebut dalam video tersebar mengenai skandal perlombongan mineral dikaitkan dengan beberapa Adun.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Fairuz Renddan, berkata berdasarkan video disebarkan, tiada langsung menyebut Hajiji menerima wang atau terlibat dengan kes itu.

Katanya, sehingga hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak memanggil pengerusi GRS itu memberi keterangan.

“Malah paparan video tersebut jelas membuktikan ketua menteri mengambil keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) kerana wujudnya pengaruh kartel.

“Sehingga hari ini, nama ketua menteri tiada langsung dipanggil untuk memberi keterangan sekali gus membuktikan ketua menteri langsung tidak terlibat dengan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim mendesak Hajiji berundur supaya siasatan kes rasuah dikaitkan beberapa Adun dapat dijalankan secara bebas dan telus.

Beliau berkata, sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, Hajiji perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu itu.

Fairuz Renddan.

Bagaimanapun, Fairuz berkata jawatan ketua menteri hanya boleh dilepaskan melalui undi tidak percaya dalam sidang DUN atau dengan kerelaan ketua menteri sendiri.

“Secara perundangan, tiada satu pun peruntukan yang memberi hak kepada mana-mana pihak untuk mendesak agar ketua menteri meletakkan jawatan untuk membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM memanggil lima Adun Sabah dan bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon yang disyaki terbabit dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Menurut SPRM, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun Sabah.

Adun terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal.

Sebelum ini, Hajiji berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu SPRM menyiapkan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.