Ujian lisan SPM: Anwar tuduh pembangkang mempolitikkan banjir

Ujian lisan SPM: Anwar tuduh pembangkang mempolitikkan banjir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata ahli pembangkang cuba eksploit isu itu apabila mencadangkan peperiksaan SPM ditangguh.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) menerima sumbangan bantuan banjir daripada Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad Yeoh Keong Hann (dua,kanan) di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuduh pembangkang mempolitikkan bencana banjir sedang melanda, khususnya berkenaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam ucapannya di satu acara kutipan dana, Anwar berkata ahli politik pembangkang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu apabila mencadangkan peperiksaan ditangguh kerana bencana.

Katanya, Malaysia berdepan cabaran sama selama beberapa dekad tanpa menunda peperiksaan utama.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 99.9% murid di kawasan mudah banjir dapat menduduki peperiksaan selain ditempatkan di asrama buat sementara.

Menjawab kebimbangan mengenai buku dan alat tulis yang rosak, Anwar berkata peperiksaan berkenaan adalah ujian lisan.

“Anda tidak memerlukan buku dan pen seperti yang didakwa oleh pembangkang,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin menggesa kerajaan menangguhkan peperiksaan berikutan makin teruk di beberapa negeri.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusoff yang membuat gesaan sama, mendakwa keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan peperiksaan SPM seolah-olah tidak ada ihsan dalam keadaan rakyat memerlukan pertolongan.

Sementara itu, Anwar pada majlis itu menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat, khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

YTL Corporation Bhd dan Yayasan Albukhary, masing-masing menyerahkan RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies, U Mobile Sdn Bhd, Mah Sing Group Bhd, WCT Bhd, IJM Corporation Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Berjaya Corporation Bhd dan Press Metal Bhd, masing-masing menyumbang RM2 juta.

Westports Malaysia Sdn Bhd, Roadcare (M) Sdn Bhd, Sunway Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd, The Weststar Group pula masing-masing menyumbang RM1 juta, manakala Fortress Mining Sdn Bhd, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Johawaki Holdings Sdn Bhd dan Lawrence Lim Swee Lin (sumbangan peribadi) menyumbang RM500,000.

Sumbangan turut diterima daripada Newsfields Land Sdn Bhd (RM250,000), AHAM Asset Management Bhd (RM250,000), Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) (RM200,000) dan YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd RM100,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.