Tentera laksana 5 tindakan jangka panjang tangani kes aniaya di ALK

Tentera laksana 5 tindakan jangka panjang tangani kes aniaya di ALK

Langkah-langkah itu termasuk tindakan tegas terhadap pelaku serta peningkatan usaha memperkukuh nilai positif dalam kalangan pegawai kadet.

tentera
Tentera dan UPNM akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tentera akan melaksanakan lima tindakan jangka panjang bagi menangani kes penganiayaan dalam kalangan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Pihak tentera memaklumkan langkah itu membabitkan tindakan tegas terhadap pelaku, iaitu selain tindakan disiplin mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Selain itu, tentera akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai positif dalam kalangan pegawai kadet, termasuk melalui kempen kesedaran mengenai bahaya buli, jati diri serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati.

“Tentera dan UPNM akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.

“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan badan pendidikan lain diperkukuh bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi,” menurut kenyataan tentera.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam konteks melaksanakan pemantauan berterusan, tentera akan memenuhi perjawatan di ALK terutamanya bagi jawatan jurulatih selain memperuntukkan perbelanjaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua aras blok penginapan pegawai kadet.

Tentera turut memandang serius kes penganiayaan yang berlaku di ALK, UPNM serta titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Majlis Istiadat Konvokesyen UPNM ke-14 semalam yang turut menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut.

“Titah Seri Paduka Baginda jelas menunjukkan bahawa kes penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar malah mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta tentera secara amnya,” menurut kenyataan itu.

Susulan kes penganiayaan yang dilaporkan, tentera telah melaksanakan lapan langkah, antaranya menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama polis bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang bertanggungjawab.

Selain itu, ALK memasang tambahan 21 CCTV baharu di blok penginapan pegawai kadet, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada.

Kenyataan itu memaklumkan, langkah lain yang dilaksanakan adalah pengasingan lokasi penginapan pegawai kadet tahun satu dan pegawai kadet senior bagi mengurangkan interaksi fizikal.

Selain itu, ketua jurulatih juga akan ditugaskan bagi memantau secara khusus pegawai kadet dengan melaksanakan rondaan lebih kerap, terutamanya selepas 11 malam.

“Tentera akan terus konsisten memastikan kejadian penganiayaan tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan.

“Tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, tentera komited menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM menitahkan supaya budaya penderaan di universiti itu dihentikan serta-merta dan meminta semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik UPNM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.