
Presiden Urimai itu mahu menaiki penerbangan ke Banda Aceh, Indonesia untuk satu program tetapi pegawai imigresen memaklumkan bahawa nama beliau disenarai hitam atas ‘arahan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agung Urimai, Satees Muniandy berkata beliau menghubungi pejabat SPRM Pulau Pinang yang memaklumkan larang ke luar negara itu dikeluarkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Katanya, beliau juga dimaklumkan perkara itu ada kena mengena dengan siasatan SPRM terhadap Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).
“Pejabat Wali Nanggroe Aceh membuat persediaan rapi untuk menyambut kedatangan Ramasamy. Perintah larangan ini menunjukkan suasana politik autoritarian di negara ini,” katanya.
FMT menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan komen.
Ramasamy dijadual menerima anugerah keamanan dari Wali Nanggroe Aceh pada malam ini bagi menghargai peranan beliau dalam memeterai perjanjian damai antara Jakarta dan kumpulan pembebasan Aceh.
Ramasamy berkata beliau bersama pemimpin Urimai, Satees dan P David Marshel sepatutnya menaiki penerbangan Firefly dari Pulau Pinang ke Aceh pada jam 12.25 tengah hari.
Bagaimanapun, beliau gagal melepasi pagar automatik imigresen. Seorang pegawai imigresen di lapangan terbang memaklumkan beliau disenarai hitam untuk keluar negara oleh SPRM.
Ramasamy menuduh SPRM menjadi lebih autoritarian di bawah kerajaan perpaduan berbanding pentadbiran Najib Razak.
“Saya jijik dengan semua ini. Apa kes atau bukti yang SPRM ada terhadap saya? Saya juga tidak didakwa atas apa-apa jenayah. Malah, pemimpin pembangkang yang didakwa atas tuduhan jenayah boleh menggunakan pasportnya untuk keluar negara.”
Beliau merujuk Muhyiddin Yassin, yang didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tetapi beberapa kali diberi pelepasan sementara pasport untuk keluar negara oleh Mahkamah Sesyen.
“Kerajaan Malaysia perlu meminta maaf kepada pemerintah Aceh kerana mereka sudah membuat persiapan besar untuk menyambut saya,” kata Ramasamy kepada FMT.