
Ketua Putera MIC, Shatesh Kumar Sangar, berkata tekanan dalam kalangan pelajar bukan disebabkan peperiksaan pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dijadikan alasan kepada pemansuhan masing-masing pada 2021 serta 2022.

Dakwanya, sistem pendidikan negara tidak memahami bebanan pembelajaran berlebihan yang hanya mencipta generasi tertekan dan cemas, bukannya pintar dan berdaya saing.
“Kementerian Pendidikan harus mengambil tindakan serius untuk mengkaji semula silibus yang semakin kompleks dan tidak relevan dengan perkembangan pelajar pada setiap peringkat.
“Masalah ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pelajar, tetapi juga mengurangkan keberkesanan proses pembelajaran dan menyebabkan kurangnya tumpuan kepada pembangunan kemahiran hidup dan emosi pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelajar tidak boleh terus dibiarkan berdepan sistem lebih menekankan hafalan daripada pembelajaran yang benar-benar mendalam dan berdaya saing.
“Apatah lagi ketika ini masalah keciciran murid, kemahiran literasi serta kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) turut membimbangkan.
“Saya mendesak supaya kerajaan memberi tumpuan kepada perubahan yang menyeluruh, dengan memperbaiki silibus agar lebih relevan, kurang membebankan, dan lebih memberi ruang untuk perkembangan holistik pelajar,” katanya.
Pada 26 Nov lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan KPM memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah bertujuan mengurangkan tekanan mereka.
Susulan itu, KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.
September lalu, Fadhlina berkata buat masa ini kerajaan kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan UPSR dan PT3.
Ini selepas desakan beberapa pihak agar peperiksaan tersebut dikembalikan atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid dan mendakwa ketiadaannya menyumbang keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh pada 2022, dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).