
Pada masa sama, Anwar Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutama di negeri-negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.
Setakat ini, katanya, keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu surut sedikit, namun beberapa kawasan di Johor dan Pahang menunjukkan trend menaik.
“Kebimbangan ialah kemungkinan (ramalan) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), (akan berlaku) gelombang kedua, “ katanya pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani di Kompleks Seri Perdana.
Mengulas perkembangan terkini banjir, Anwar berkata, setakat 6 pagi tadi, 65,991 mangsa daripada 19,969 keluarga ditempatkan di 220 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sementara itu, beliau berkata, Skuad Ihsan Madani yang terdiri daripada sukarelawan penjawat awam pelbagai kementerian dan agensi akan diatur gerak bagi membantu fasa pemulihan pasca bencana.
Skuad yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar itu akan diselaras oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama pihak Jabatan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.