
Jontih Enggihon mahu menuntut ganti rugi atas apa yang didakwanya sebagai konspirasi berniat jahat yang telah mencemarkan nama baiknya dan menyebabkan dia mengalami tekanan mental yang teruk.
Beliau berkata saman itu sebagai tindak balas terhadap tuduhan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), CEO Natasha Sim dan setiausaha syarikat itu terhadapnya.
“Saya bekerjasama rapat dengan peguam bela saya untuk memulakan tindakan sivil atas kerosakan reputasi, kerosakan mental, dan kesedihan yang mereka timbulkan,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lalu, SMM menuduh Jontih melanggar kewajipan fidusiari dan melakukan fraud dan salah laku.
Laporan dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuduh Jontih berpakat dengan individu yang dikatakan seorang pemberi maklumat di sebalik video dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Adun Sabah.
Sim berkata salah laku yang didakwa dilakukan oleh Jontih itu terbongkar susulan siasatan dalaman menyeluruh ke atas hal ehwalnya semasa memegang jawatan itu.
Jontih menafikan dakwaan-dakwaan itu dan berkata dakwaan mengatakan beliau bertindak sebagai orang tengah adalah suatu ‘pembohongan’.
Hari ini, Jontih berkata dia beri kerjasama penuh dalam siasatan SPRM dan polis ke atas dakwaan-dakwaan itu, serta yakin akan dibuktikan tidak bersalah dan keadilan akan ditegakkan.
Jontih mendakwa dia punyai bukti bahawa Sim dan setiausaha syarikat tidak memberitahukan perjalanan ke Indonesia yang ditaja pada awal tahun ini.
Jontih juga mendakwa mempunyai rakaman suara dan bukti lain yang menunjukkan setiausaha syarikat itu menyediakan dokumen yang mengelirukan, manakala Sim menggunakan rekod lapuk untuk memperdaya lembaga pengarah SMM.
Pada 29 Nov, Sim menafikan dakwaan beliau tidak memberitahukan perjalanan itu, serta nafi dakwaan bahawa dia mengelirukan lembaga pengarah dengan meminda minit mesyuarat.
FMT difahamkan bahawa Sim mempunyai dokumen untuk menafikan dakwaan-dakwaan itu.