
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, banjir yang berlaku pasti memberi kesan kepada mental dan emosi mangsa.
“Dari segi pegawai, kita ada 152 orang terlibat dalam psikososial selain 1,047 sukarelawan yang menyokong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Better Brighter’ Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara-TNB Hospital Melaka hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi serta mental akibat Monsun Timur Laut tahun ini.
“MHPSS menjadi barisan hadapan kita (KKM) dalam memberi bantuan psikologi melalui sesi ‘psychological first aid’ (PFA),” katanya.
Selain itu katanya, KKM juga memberikan pendidikan psikologi kepada mangsa banjir.
“Di samping itu, kita juga menjalankan sesi relaksasi dan sebagainya,” katanya.
Setakat 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi susulan situasi yang beransur pulih di tiga negeri iaitu Terengganu, Perak dan Kedah.
Angka kematian akibat bencana itu kekal tujuh orang.