Idrus Harun pengerusi baharu MyCC

Idrus Harun pengerusi baharu MyCC

Bekas peguam negara itu dilantik bagi tempoh 3 tahun, berkuat kuasa 25 Nov lepas.

armizan idrus
Idrus Harun pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk peguam negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.(Gambar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)
PUTRAJAYA:
ldrus Harun dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 25 Nov lepas hingga 24 Nov 2027.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, pelantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas mantan pengerusi Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkuat kuasa 3 Julai lepas.

Pelantikan itu dibuat bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713), tambahnya.

Armizan berkata, beliau yakin pelantikan Idrus akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki.

“Selain itu, saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah,” katanya dalam kenyataan.

ldrus memiliki ljazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk peguam negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang, hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mulai 1 Nov lepas.

Armizan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan pengerusi MyCC atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada agensi itu dan negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.