Fahmi terima memorandum bantahan PPPA

Fahmi terima memorandum bantahan PPPA

Fahmi Fadzil berkata, beliau selaku menteri komunikasi akan membawa isu itu kepada perhatian Jemaah Menteri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap selepas menerima memorandum daripada Sekretariat 404 di perkarangan bangunan Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menerima memorandum daripada gerakan gabungan tiga organisasi media yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan beberapa akta, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Fahmi berkata, walaupun PPPA bawah kementerian lain, namun beliau selaku menteri komunikasi akan membawa isu itu kepada perhatian Jemaah Menteri.

“Yang penting kita mahu suasana yang positif bagi media untuk terus beroperasi dengan baik di samping menjaga hak dan kebebasan media … suara rakyat amnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum tersebut.

Memorandum itu diserahkan kepada Fahmi dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah oleh sekretariat Fourth for The Fourth (404) di persimpangan Jalan Parlimen berdekatan laluan masuk ke Bangunan Parlimen hari ini.

Kumpulan itu mewakili Gerakan Media Merdeka (Geramm), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Centre of Independent Journalism (CIJ).

Sementara itu Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi sedang berusaha membawa Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

RUU tersebut akan membantu menguruskan hal ehwal media secara lebih terangkum, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.