5 daripada 12 projek RoL dalam pra-pelaksanaan dibatal, kata menteri

5 daripada 12 projek RoL dalam pra-pelaksanaan dibatal, kata menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat berikutan penelitian semula terhadap 12 projek yang masih belum dimulakan.

Projek River of Life, yang melibatkan lapan sungai di Lembah Klang, terdiri daripada tiga komponen: pembersihan sungai, pengindahan sungai, dan komersialisme dan pelancongan.
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mendedahkan lima daripada 12 projek River of Life (RoL) yang masih dalam peringkat pra-pelaksanaan telah dibatalkan.

Zaliha berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah meneliti semula 12 projek itu bagi memastikan hanya projek yang signifikan sahaja diteruskan.

“Oleh itu, sebanyak lima projek telah dibatalkan kerana kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Zaliha menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai tindakan susulan terhadap 12 projek River of Life, seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 dikeluarkan pada Julai.

Beliau berkata baki tujuh projek akan diteruskan, dan proses perolehan oleh agensi berkaitan sedang dijalankan supaya projek berjalan lancar dan risiko pelaksanaan diambil kira sepenuhnya.

Menurut LKAN, projek RoL, yang telah menghadapi kelewatan lebih lapan tahun, tidak mungkin disiapkan tahun ini.

Ia berkata sehingga Julai 2023, lapan projek berkaitan RoL daripada jumlah keseluruhan 159 masih diteruskan, dengan kemajuan antara 21% hingga 97.3%.

Ia juga berkata bahawa kontraktor masih belum dilantik untuk dua projek berikutan penamatan kontrak, manakala 12 projek masih belum dimulakan. Sebanyak 135 telah siap.

Turut didapati hanya 79.4% kerja pengindahan sungai telah siap, dan hanya 50 daripada 296 loji rawatan kumbahan telah dirasionalisasi atau dinaik taraf.

Analisis juga mendedahkan bahawa kelewatan projek telah berlanjutan selama lapan tahun, mengakibatkan peningkatan kos bagi kerajaan, kata laporan itu.

Sehingga Disember 2023, lebih RM3.9 bilion telah dibelanjakan untuk RoL berbanding kos siling yang diperuntukkan sebanyak RM4.36 bilion.

Projek RoL, yang melibatkan lapan sungai di Lembah Klang, terdiri daripada tiga komponen: pembersihan sungai, pengindahan sungai, dan komersialisme dan pelancongan.

Laporan itu juga mengatakan, tiada satu pun objektif RoL telah dicapai. Satu objektif utama, untuk meningkatkan kualiti air sungai, sukar dicapai disebabkan oleh kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan, tahap operasi aset yang rendah, pematuhan yang lemah, dan kesedaran yang rendah tentang penjagaan sungai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.