13% peminjam AKPK berjaya selesai penuh hutang RM3.2 bilion

13% peminjam AKPK berjaya selesai penuh hutang RM3.2 bilion

Mereka terdiri daripada 477,571 peminjam itu dibantu melalui Program Pengurusan Kredit untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada.

Amir Hamzah Azizan berkata 5% daripada peserta telah menamatkan penyertaan dalam Program Pengurusan Kredit kerana berkemampuan menyelesaikan hutang tanpa bantuan AKPK.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 13% daripada 477,571 peminjam Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sepenuhnya pinjaman hutang melebihi RM3.2 bilion, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata peminjam ini dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) yang membantu mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman.

“Selain itu, 51% daripada peserta masih aktif dan menerima bantuan daripada inisiatif ini. Tambahan pula, 5% daripada peserta telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Noraini Idris berkenaan usaha yang dilaksanakan Kementerian Kewangan menerusi AKPK untuk menyediakan jalan keluar kepada rakyat yang diisytiharkan bankrap.

Amir Hamzah berkata sejak penubuhan AKPK pada 2006, agensi berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu menerusi Khidmat Nasihat Kawalselia Kewangan (KNKK) secara percuma.

Beliau berkata, bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, AKPK dan institusi kewangan telah melaksanakan inisiatif dalam mengeluarkan notis kepada peminjam.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan bantuan penjadualan semula atau penstrukturan pinjaman sebelum institusi kewangan meneruskan notis kebankrapan.

“Inisiatif ini membantu peminjam untuk mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan atau AKPK, sekali gus mengurangkan kadar kebankrapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.