UAE solidariti dengan mangsa banjir di Malaysia

UAE solidariti dengan mangsa banjir di Malaysia

UAE turut bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas, menurut dutanya, Mubarak Saeed Al-Dhaheri.

banjir kelantan
Setakat pagi ini tujuh kematian dilaporkan dengan hampir 100,000 mangsa dipindahkan akibat banjir di seluruh negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan solidariti dengan Malaysia ketika banjir yang melanda beberapa negeri mengakibatkan kematian, serta ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dan kerosakan harta benda yang ketara.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas musibah ini,” kata Duta UAE ke Malaysia Mubarak Saeed Al-Dhaheri pada sambutan Hari Kebangsaan UAE ke-53 semalam, yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, diplomat asing dan pegawai kerajaan.

“UAE bersolidariti dengan Malaysia dalam menghadapi situasi banjir yang berterusan dan bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada keluarga yang terjejas untuk menghadapi malapetaka ini,” katanya.

Setakat pagi ini, tujuh kematian dilaporkan dengan hampir 100,000 mangsa dipindahkan akibat banjir di seluruh negara.

Menyentuh hubungan dua hala Malaysia dan UAE, Al-Dhaheri melahirkan keyakinan untuk kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang perdagangan, kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan teknikal.

UAE ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat dan Timur Tengah, dengan jumlah pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara bagi perdagangan bukan minyak pada 2023 melebihi USD4.9 bilion.

“Dalam bidang AI, UAE dianggap sebagai antara negara terkemuka dalam menarik bakat dan perkongsian global. Sehubungan itu, kami berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.

Beliau turut merujuk kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence, universiti pertama seumpamanya yang mengkhususkan dalam AI, sebagai contoh perkongsian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.