Subsidi tiket penerbangan dilanjut 4 hari, kata Loke

Subsidi tiket penerbangan dilanjut 4 hari, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata lanjutan inisiatif tambang penerbangan maksimum RM499 pada musim perayaan itu bermula Krismas ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata inisiatif itu terpakai bagi perayaan pada tahun hadapan untuk penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
SEPANG:
Kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan daripada tiga kepada empat hari bermula Krismas ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata inisiatif itu terpakai bagi perayaan-perayaan pada tahun hadapan untuk penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak

“Kerana kita menjangkakan lebih ramai akan balik pada hujung minggu, jadi empat hari ini (sebelum tarikh perayaan) akan diberikan bantuan subsidi iaitu kita menetapkan kadar maksimum untuk syarikat penerbangan.

“Ini sudah tentunya akan memberikan kemudahan dan juga satu harga tambang yang lebih kompetitif dan lebih baik buat penumpang. Kita harap lebih ramai rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kadar tambang tetap AirAsia bagi perayaan Tahun Baru Cina di AirAsia RedQ.

Loke berkata pelanjutan inisiatif itu melibatkan tambahan perbelanjaan kerajaan dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta.

Beliau berkata Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM48 juta kepada Kementerian Pengangkutan untuk menjayakannya serta inisiatif FlySiswa.

“Secara purata, subsidi untuk setiap kerusi bagi seorang penumpang ialah RM406. Bagi tahun ini, kita telah membelanjakan hampir RM12.5 juta,”

“Kerajaan mengambil langkah ini sebagai intervensi untuk menetapkan harga tiket (tiket penerbangan) semasa musim perayaan … . Kita sedia maklum kadangkala harga tiket melambung naik kerana ia berdasarkan mekanisme harga dinamik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.