‘Ketimbang’, ‘peluncuran’ tak layak masuk kamus DBP, kata wakil pembangkang

‘Ketimbang’, ‘peluncuran’ tak layak masuk kamus DBP, kata wakil pembangkang

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid berkata perkataan dengan maksud sama wujud dalam BM.

rosol wahid
Rosol Wahid menyifatkan tindakan DBP mengiktiraf perkataan dipinjam daripada bahasa Indonesia dalam kamusnya umpama mengagung-agungkan bahasa asing.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan perkataan ‘ketimbang’ dan ‘peluncuran’, yang sering digunakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak layak dimasukkan dalam kamus digital Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata, beliau hairan perkataan dari Indonesia itu disenaraikan sebagai perkataan baharu oleh DBP, walhal perkataan dengan maksud sama wujud dalam bahasa Melayu (BM).

“Saya ada berbincang dengan munsyi dewan, mereka hairan apa sahaja yang disebut oleh pemimpin terus masuk (dalam kamus) sebagai satu kata baharu. Persoalan saya, untuk nak masukkan perkataan tersebut adakah dengan semudah itu?” soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2025 bagi Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya difahamkan perkataan ketimbang tak layak dimasukkan kerana kita ada perkataan dalam BM…salah satu syarat untuk nak masukkan perkataan atau kosa kata dalam Kamus Dewan mestilah perkataan tersebut tiada dalam BM, maka boleh kita pinjam daripada bahasa Inggeris atau bahasa lain.”

Beliau juga menyifatkan tindakan DBP umpama mengagung-agungkan bahasa asing, malah perkembangan itu disifatkan sebagai kecelaruan bahasa.

“Apa yang berlaku sekarang adalah kecelaruan dari segi bahasa kerana kita dah ada bahasa kita, kita kena martabatkan bahasa kita, kenapa kita perlu mengagungkan bahasa luar untuk kita nak pinjam?

“Kita tahu bahasa Indonesia sangat bombastik tetapi oleh kerana kita dah ada perkataan kita (sendiri) maka lebih baik (kekalkan),” katanya.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ‘ketimbang’, ‘peluncuran’, dan ‘maha kaya’ antara 12 perkataan baharu dimasukkan dalam kamus digital DBP.

Fadhlina berkata, ‘ketimbang’ terkandung dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang digunakan untuk menandai perbandingan.

Katanya, ‘ketimbang’ sama erti atau sinonim dengan kata ‘daripada’, manakala ‘peluncuran pul mempunyai maksud sama dengan pelancaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.