Bukan macam Sosma, Dzulkefly perjelas Akta 342 tiada kuasa tangkap

Bukan macam Sosma, Dzulkefly perjelas Akta 342 tiada kuasa tangkap

Menteri kesihatan berkata pegawai diberi kuasa KKM tidak mempunyai kuasa menangkap orang disyaki menghidapi penyakit berjangkit.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di Kementerian Kesihatan.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak sama seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata pegawai diberi kuasa (PDK) KKM tidak mempunyai kuasa untuk menangkap orang disyaki menghidap penyakit berjangkit

“Ini salah faham yang ditularkan dan telah dipanjang-panjangkan dengan mengatakan pegawai KKM diberi kuasa menangkap dan menahan pesakit.

“Pegawai tersebut hanya sekadar untuk mendapatkan maklumat tepat berkenaan penyakit, sejarah perjalanan, kontak rapat dan maklumat lain terkait penyebaran sesuatu penyakit,” katanya pada sidang media di KKM.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membantah pindaan Akta 342 kerana didakwa menyamai Sosma.

Penasihat Asri Yusoff berkata, salah satu seksyen baharu dalam akta itu memberi kuasa kepada pegawai KKM menahan seseorang yang dituduh bersalah tanpa perlu bicara di mahkamah serta dibenarkan menggunakan kekerasan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pegawai KKM diberi kuasa terhad bawah Akta 342 dan tidak sama seperti polis.

“Hanya sekadar lengkapkan maklumat,” katanya.

Beliau juga menjangkakan akta itu dikuatkuasakan pada suku pertama tahun depan.

Dewan Rakyat pada 14 Okt lalu meluluskan pindaan Akta 342 yang bertujuan meningkatkan kecekapan menangani ancaman penyakit berjangkit, dan ia diluluskan Dewan Negara, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.