Lelaki Indonesia cuba seludup 12kg dadah ikut jalan laut ditahan

Lelaki Indonesia cuba seludup 12kg dadah ikut jalan laut ditahan

Suspek berusia 29 tahun ditahan di sebuah jeti di Teluk Bahang, Pulau Pinang, semalam.

Sazalee Adam
Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam (kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu, ganja dan MDMA bernilai RM217,424 pada sidang media di IPD Barat Daya hari ini. (Gambar Bernama)
BALIK PULAU:
Cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa keluar lebih 12kg dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM217,424 melalui jalan laut gagal apabila dicekup polis pagi semalam.

Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Barat Daya hasil maklumat dan risikan.

Beliau berkata, suspek ditahan di sebuah jeti di Teluk Bahang bersama beg mengandungi syabu, ganja dan MDMA ketika hendak menaiki bot dipercayai untuk pulang ke Indonesia.

“Pemeriksaan ke atas beg berkenaan membawa kepada penemuan enam ketulan disyaki ganja anggaran berat 6.5kg bernilai RM20,150, enam bungkusan disyaki syabu 6.1kg bernilai RM195,200 dan dua paket disyaki MDMA dianggarkan seberat 34g bernilai RM2,074.

“Hasil risikan mendapati suspek baru bergiat aktif dengan aktiviti pengedaran dadah ini untuk pasaran luar negara melalui perairan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di IPD Barat Daya hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama kali masuk ke negara ini pada 28 Sept lepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, suspek dikatakan membayar RM3,000 kepada pemandu bot untuk membawanya ke perairan sempadan negara, dan dipercayai menerima upah RM2,800 bagi sekilo dadah yang dibawanya.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.