SPM di negeri terjejas banjir berjalan lancar, kata Fadhlina

SPM di negeri terjejas banjir berjalan lancar, kata Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses pemindahan calon SPM terjejas banjir menerusi Ops Payung selesai semalam.

calon spm
Trak tentera menghantar calon SPM ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat di Tumpat hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir berjalan lancar pada hari pertama, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata proses pemindahan calon SPM terjejas banjir menerusi Ops Payung selesai semalam.

“Kementerian hari ini memasuki fasa kedua, iaitu pembugaran emosi, peneguhan dan memastikan psikososial mereka dipersiapkan untuk menghadapi peperiksaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata 1,734 calon SPM dari 20 sekolah di enam daerah terjejas banjir berjaya menduduki peperiksaan ujian lisan Bahasa Melayu bermula hari ini.

Menurutnya 1,155 calon terjejas banjir dipindahkan ke lapan asrama, manakala 261 calon yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sudah pulang ke rumah selepas keadaan banjir beransur pulih.

Beliau berkata proses penghantaran 261 calon SPM itu ke pusat peperiksaan alternatif berjalan lancar pagi tadi.

“Kita telah menggerakkan perancangan terperinci dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran pengangkutan kepada calon terjejas banjir yang diselia Pejabat Pendidikan Daerah.

“Semua calon ini dibawa ke pusat peperiksaan alternatif oleh kenderaan agensi kerajaan seperti majlis daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak membantu melancarkan urusan penghantaran calon SPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.