Raja Arab Saudi beri sokongan kewangan untuk PRU13, Najib beritahu mahkamah

Raja Arab Saudi beri sokongan kewangan untuk PRU13, Najib beritahu mahkamah

Bekas PM Najib Razak berkata, Raja Abdullah menyatakan hasrat membantunya mengekalkan kuasa ketika mereka bertemu pada 2010.

najib razak
Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak mula membela diri terhadap tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram hari ini dengan mendakwa Raja Arab Saudi Raja Abdullah menjanjikannya sokongan kewangan untuk pilihan raya umum 2013 (PRU13).

Pada perbicaraan 1MDB dihadapinya, bekas perdana menteri itu berkata, Raja Abdullah menyatakan hasrat membantunya mengekalkan kuasa ketika mereka bertemu pada 2010.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak diberitahu nilai sumbangan yang akan diterimanya.

“Malah saya menerima kiriman wang melalui Bank Riyadh di Arab Saudi dan surat melalui wakil dirajanya mengesahkan sumbangan ini daripada Raja Abdullah,” katanya menambah, beliau membuka akaun dengan AmBank untuk tujuan ini.

Najib berkata ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kemudian memberitahunya dia akan menerima sejumlah kira-kira USD1 bilion.

“Azlin memberitahu saya, Pengarah Urusan AmBank Cheah Teck Kuang akan menguruskan proses pembukaan akaun itu,” katanya merujuk bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada April 2015.

Najib juga berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan AmBank tidak pernah menandakan kiriman wang derma itu sebagai transaksi yang mencurigakan.

‘SPRM tak pernah maklum saya akan didakwa’

Najib berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangannya pada 2018 sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB, tetapi tidak pernah memaklumkan kepadanya dia akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa.

“Saya hanya tahu selepas perbicaraan bermula. Tuduhan pertama berkait tindakan saya mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri mengenai jaminan kerajaan untuk Terengganu Investment Authority (TIA) mendapatkan pinjaman RM5 bilion melalui terbitan nota jangka sederhana Islam.

“Saya maklum bahawa pihak pendakwaan mendakwa saya menyalahgunakan jawatan kerana saya bertindak mengikut arahan Jemaah Menteri apabila membentangkan memorandum (TIA) ini untuk pertimbangan.

“Ini membingungkan saya kerana saya hanya menjalankan tugas rasmi,” katanya.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Awal hari ini, peguamnya, Shafee Abdullah, memaklumkan mahkamah pihaknya akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk menyokong pembelaan Najib.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.