
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tujuan penubuhan Oraco ialah untuk memudahkan proses pengurusan pembangunan Orang Asli ke arah lebih baik.
Katanya, ini termasuk menguruskan hasil ladang selain memfokuskan untuk menaik taraf pembangunan masyarakat itu.
“Kerajaan negeri menubuhkan Oraco bukan nak ambil hak Orang Asli termasuk ladang, sebaliknya penubuhan itu untuk memastikan pengurusan Orang Asli lebih teratur termasuk soal pemberian tanah dan sebagainya.
“Mana-mana pihak tak jelas isu penubuhan Oraco, kami sedia berjumpa dan memberi penerangan lebih mendalam tujuan penubuhannya. Kita terbuka menerima pandangan dan memberi penjelasan,” katanya kepada FMT.
Mengulas isu pembahagian geran tanah kepada Orang Asli termasuk yang menguruskan ladang Tanaman Semula Komersial, Syed Ibrahim berkata proses itu sedang berjalan dan memerlukan masa untuk diselesaikan.
“Isu pemilikan tanah ini ia banyak kekangan sikit ia tak boleh selesai serta merta banyak isu teknikal perlu dilakukan satu persatu.
“Sampai masa nanti ia akan selesai termasuk isu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta membabitkan bidang kuasa Pejabat Tanah Dan Galian,” katanya.
Syed Ibrahim berkata isu Orang Asli sukar menjual hasil kelapa sawit kerana tidak memiliki geran tanah dan lesen sudah diselesaikan selepas proses itu diuruskan Oraco.
Sebelum ini Parti Orang Asli Malaysia merayu kerajaan membenarkan Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen hanya perlu mendapatkan pengesahan Jakoa.
Presidennya Rashid Ka berkata komuniti berkenaan lebih selesa berurusan dengan institusi kerajaan berbanding syarikat bawah kerajaan negeri, seperti Oraco.
Menurutnya, ada dalam kalangan Orang Asli merasakan Oraco mahu mengambil alih ladang yang mereka bangunkan secara sendirian, di atas tanah yang banyak tidak diwartakan.