
Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira nasihat pihak keselamatan, khasnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, calon SPM yang terjejas banjir akan dipindahkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan keselesaan dan mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan semua calon terjejas, termasuk yang masih berada di rumah masing-masing akan dibawa keluar hari ini,” katanya sambil menambah ia termasuk pelajar di institusi bukan bawah seliaan kementeriannya.
“Ini bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bermula esok, sama ada di sekolah bagi yang tidak terjejas, di asrama disediakan KPM atau di pusat peperiksaan alternatif.
“Setakat ini, (proses pemindahan pelajar) di Kedah dan Terengganu sudah selesai sepenuhnya, hanya tinggal Kelantan dan kita percaya ia boleh diselesaikan hari ini,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media khas di Putrajaya.
Beliau berkata, calon SPM juga dibenarkan berpakaian sesuai menduduki peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menguruskan semua kelengkapan diperlukan calon.
“Kita juga melengkapkan asrama di mana mereka akan ditempatkan, antaranya menyediakan alat tulis, pakaian dan aspek lain bagi membolehkan mereka belajar atau mengulang kaji secara kondusif di asrama.”
Menurutnya, seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas banjir di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Setakat ini, jumlah calon SPM tertinggi di Kelantan iaitu 3,111 pelajar, diikuti Terengganu (1,734) dan Kedah (532).