Petros perlu pakatan strategik untuk berkembang, kata Abang Jo

Petros perlu pakatan strategik untuk berkembang, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata negeri itu tidak tamak dengan minyak dan gas serta akan memajukan lagi syarikat milik kerajaan Petros.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berucap di Miri selepas majlis pecah tanah sebuah loji janakuasa. (Gambar Facebook Ukas)
PETALING JAYA:
Sarawak tidak tamak dalam permintaan terhadap sumber minyak dan gas, serta akan memajukan lagi syarikat minyak negeri Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kata Premiernya, Abang Johari Openg.

Menurutnya, Petros memerlukan pakatan strategik dengan rakan kongsi lain untuk terus berkembang.

“Saya percaya dalam pembangunan organik. Anda perlu bermula di suatu tempat. Kemudian anda berkembang bersama dan membina syarikat ini. Dan anda mesti mempunyai pakatan strategik dengan rakan kongsi lain.

“Anda tidak boleh bersendirian. Petros tidak boleh bersendirian. Petronas tidak boleh bersendirian saja. Syarikat lain tidak boleh bersendirian. Perlu ada sinergi dan kerjasama antara kita,” katanya menurut Sarawak Tribune dalam majlis pecah tanah sebuah loji janakuasa di Miri semalam.

Sarawak melantik Petros sebagai agregator tunggal untuk pengagihan gas di negeri itu. Tindakan berkenaan dipertikaikan Petronas, syarikat minyak negara.

Abang Johari menolak dakwaan Sarawak “tamak” dengan rizab minyak dan gas, sebaliknya ia soal menguruskan sumbernya yang akan memberi keputusan positif untuk negeri itu dan negara.

Beliau berkata, disebabkan Sarawak menghasilkan gas, jadi ia perlu mempunyai hak bersuara dalam perkara itu.

“Secara perlembagaannya, kita mempunyai hak untuk pengagihan gas dan kami melantik Petros sebagai agregator gas tunggal. Ini dilakukan berdasarkan undang-undang kita.

“Justeru, saya dan kerajaan Sarawak, kita berkembang mengikut undang-undang dan perundangan. Dan kami berkongsi (sumber kami).”

Penganalisis dan pihak lain dalam industri bimbang dengan langkah Sarawak kerana ia boleh makan diri dan menyebabkan kerajaan negeri serta persekutuan kerugian daripada pengaturan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.