Perisytiharan harta Anwar pada 2019 disalah guna untuk fitnah, kata setpol PM

Perisytiharan harta Anwar pada 2019 disalah guna untuk fitnah, kata setpol PM

Ahmad Farhan Fauzi berkata ada Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen yang mengisytiharkan aset jauh lebih tinggi dari Anwar Ibrahim.

Ahmad Farhan Fauzi
Ahmad Farhan Fauzi berkata maklumat itu digunakan untuk menyebarkan tuduhan bahawa Anwar Ibrahim ‘pemimpin ke-17 terkaya di dunia’ dengan gambaran hartanya diperoleh secara tidak sah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Data perisytiharan harta Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah diisytiharkannya pada 7 Mac 2019 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disalahgunakan, kata Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi.

Beliau berkata maklumat itu digunakan untuk menyebarkan tuduhan bahawa Anwar adalah ‘pemimpin ke-17 terkaya di dunia’ dengan gambaran seolah-olah hartanya diperoleh secara tidak sah.

Katanya, perisytiharan harta itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu untuk memastikan ketelusan dalam kalangan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

“Perisytiharan ini tidak mendatangkan sebarang isu pada waktu itu kerana ia disertai dengan penjelasan terperinci mengenai bagaimana aset tersebut diperolehi. Sebahagian besar nilai asetnya adalah berdasarkan anggaran semasa hartanah miliknya.

“Aset-aset ini diperoleh secara sah dan boleh dibuktikan melalui dokumen jual beli dan rekod kewangan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhan berkata perisytiharan harta sebanyak RM10.7 juta oleh Anwar ketika itu tidak menjadi isu kerana ramai Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen PH mempunyai nilai aset yang jauh lebih tinggi antaranya R Santhara Kumar (Segamat) sebanyak RM132.1 juta dan Ngeh Koo Ham (RM77.0 juta).

Dr Mahathir Mohamad sebanyak RM32.3 juta, Mukhriz Mahathir (RM25.1 juta), Mohd Redzuan Yusof (RM23.0 juta), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (RM15.3 juta) dan Muhyiddin Yassin (RM14.3 juta).

“Secara logiknya, tuduhan bahawa Anwar adalah pemimpin ke-17 terkaya di dunia adalah tidak masuk akal. Jika dibandingkan dengan pemimpin lain di Malaysia sendiri, nilai aset Anwar bukanlah antara yang tertinggi.

“Bagaimana mungkin beliau tergolong dalam senarai pemimpin terkaya dunia? Penyebaran tuduhan tidak berasas ini adalah contoh klasik fitnah yang boleh merosakkan kredibiliti individu tanpa bukti yang sah. Dalam Islam, fitnah adalah dosa besar,” katanya.

Beliau berkata tindakan menyebarkan maklumat tanpa menyiasat kebenarannya tidak hanya mencemarkan nama baik individu tetapi juga meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem politik dan institusi negara.

Farhan berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun ia perlu dilaksanakan secara matang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.