Johor cadang wajib pelajar 16 tahun berpersatuan

Johor cadang wajib pelajar 16 tahun berpersatuan

Exco Mohd Hairi Mad Shah berkata pendedahan pada usia muda penting agar tidak kekok berpersatuan selepas keluar alam persekolahan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Hairi Mad Shah, berkata pelajar 16 tahun ke atas boleh menceburi sebarang persatuan atau pertubuhan sukarela. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan Johor bercadang mewajibkan pelajar 16 tahun ke atas menceburi sebarang persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau Southern Volunteers (SV).

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Hairi Mad Shah, berkata langkah itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka sebelum memasuki alam remaja, dan selepas keluar daripada alam persekolahan.

Beliau berkata, satu transformasi baharu sedang dikaji supaya pelajar kumpulan itu diwajibkan menceburi persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau SV Muda, mengikut pilihan mereka.

“Pelaksanaan dan pendedahan ini membolehkan golongan berkenaan tidak berasa kekok menceburi persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang bertanya sekiranya Johor berhasrat menubuhkan kelab belia di semua sekolah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.

Sementara itu, Hairi berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor tidak berhasrat menubuhkan persatuan atau pertubuhan belia di semua sekolah di negeri ini, sebagai menghormati Dasar Pelaksanaan Kokurikulum dan juga Akta Pendidikan 1961 sedia ada di Kementerian Pendidikan.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak menubuhkan kelab belia di sekolah kerana ia dilihat akan menambah beban sedia ada guru dan turut mengambil kira faktor bahawa Malaysia masih kekurangan tenaga pengajar.

“Untuk makluman, Johor memiliki hampir dua juta belia, iaitu separuh daripada populasi keseluruhan negeri Johor yang direkodkan seramai 4.1 juta penduduk berdasarkan rekod terkini Jabatan Perangkaan.

“Bagi persatuan atau pertubuhan belia yang berdaftar di Johor keseluruhannya adalah berjumlah 1,123,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.