
Menurut Presiden Muhyiddin Yassin, undang-undang berkaitan mengatakan mereka hanya boleh menahan akaun dalam hanya tempoh 12 bulan.
Beliau menambah tuntutan Bersatu di mahkamah berhubung pembekuan akaun bank adalah wajar memandangkan parti itu tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan.
“Ini zalim, ia tidak adil. Jadi saya dah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin untuk mengambil tindakan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan bank,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Bersatu di IDCC Shah Alam.
SPRM pada 30 Jan tahun lalu memaklumkan pembekuan dua akaun Bersatu itu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh parti itu daripada hasil haram.
Dua akaun Bersatu dibekukan pada 12 dan 13 Jan 2023, sebelum disita SPRM pada 11 April tahun sama untuk tindakan lanjut.
Sitaan dibuat selepas SPRM mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kepada pihak bank.
Pada Oktober tahun lalu, Bersatu berjaya dalam permohonan kedua untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaunnya.
Mahkamah akan dengar semula permohonan itu pada 23 Januari depan, kata Muhyiddin.
Terdahulu, Bendahari Rina Harun mengesahkan kedudukan kewangan Bersatu kritikal kerana akaun masih dibekukan SPRM.
Keadaan itu menyebabkan Bersatu berdepan kesukaran menjalankan aktiviti, katanya.