Sistem 2 parti tak jamin kestabilan politik

Sistem 2 parti tak jamin kestabilan politik

Penganalisis politik berkata dominasi oleh sebuah parti politik boleh memupuk rasuah, mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat, dan konflik dalaman.

Sistem pelbagai lebih parti praktikal bagi landskap politik Malaysia, kata Azmi Hassan.
PETALING JAYA:
Sistem dua parti tidak menjamin kestabilan politik, kerana ia boleh mencetuskan permusuhan antara parti yang bersaing, menurut penganalisis politik.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway menjelaskan bahawa dalam sistem dua parti di mana yang menang akan menang semua, strategi memburuk-burukkan lawan menjadi pilihan rasional berbanding bersaing secara adil.

Wong Chin Huat.

“Inilah yang kita lihat dalam tempoh singkat tujuh tahun dari 2008 hingga 2015 apabila keadaan kita paling hampir dengan sistem dua parti,” katanya kepada FMT.

Ini juga bermakna satu pihak akan mendominasi, keadaan yang akan menjadi ancaman lebih besar pada kestabilan apabila dominasi itu memupuk rasuah, mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat, dan konflik dalaman.

Beliau mengambil contoh skandal 1MBD dan krisis semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

“Pada asasnya, gabungan tetap di bawah sistem pilihan raya ‘First-Past-The-Post’ (FPTP) tidak membenarkan persaingan dalaman dalam kalangasn sekutu, daripada kerusi yang dipertandingkan sehingga kepada jawatan menteri,” katanya.

Keadaan itu memaksa ahli politik yang bercita-cita tinggi menggunakan taktik agresif untuk mendaki tangga kuasa.

Wong mengulas gesaan Mahathir baru-baru ini supaya Malaysia mengamalkan sistem dua parti bagi mengelakkan ketidakstabilan politik berulang, seperti yang dilihat berlaku pada PRU lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata landskap politik semasa yang dibentuk oleh parti berpecah-pecah dan kumpulan serpihan melemahkan kemampuan mana-mana parti tunggal untuk membentuk kerajaan stabil.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi Hassan di Akademi Nusantara berkata sistem berbilang parti lebih praktikal memandangkan pengaruh identiti kaum dan kenegerian dalam landskap politik.

“Terdapat perpecahan yang ketara dalam kalangan parti berasaskan Melayu-Islam, seperti Bersatu, PAS dan Umno. Menyatukan parti-parti ini menjadi satu gabungan adalah amat mencabar,” katanya.

Bagi Azmi, percubaan sedemikian boleh mendalamkan perpecahan, berpotensi membawa kepada keadaan di mana terdapat satu parti mewakili pengundi Melayu dan satu parti lain mewakili pengundi bukan Melayu.

“Ini adalah senario yang tidak sihat untuk masa depan politik Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.