
Beliau berkata, peperiksaan tetap berjalan seperti biasa, termasuk di negeri terjejas bencana itu bagi mengelakkan keciciran calon SPM.
“Kementerian saya telah mempersiapkan pusat-pusat peperiksaan SPM supaya mereka mempunyai keupayaan menerima calon luar dari daerah mereka dalam situasi kecemasan akibat bencana banjir.
“Kalau sesebuah sekolah itu terjejas, mereka boleh mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan lain,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Demit di sini semalam.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia daripada pelbagai aspek dan mengambil langkah drastik memastikan semua calon menduduki peperiksaan SPM, sekiranya sekolah mereka terjejas.
Fadhlina berkata, KPM turut mengatur sokongan psikososial di peringkat sekolah bagi membantu calon SPM mungkin mengalami trauma akibat banjir.
Katanya, tumpuan penuh akan diberikan kepada pemantau cuaca dan kebajikan calon SPM serta keadaan luar jangka bagi memastikan tiada calon cicir daripada menduduki peperiksaan itu.
“Kita akan pastikan mereka tetap hadir walau apapun ujian dan langkah-langkah itu sedang kita uruskan.”
Mengenai isu pelajar Malaysia menetap di Golok, Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, Fadhlina berkata, bermula 1 Dis ini, perkara itu tidak lagi timbul kerana pihaknya sudah mencari langkah penyelesaian.
“Kita telah mengambil tindakan untuk menempatkan kira-kira 100 pelajar di asrama dan kedua, memastikan mereka memiliki pas sah supaya tidak lagi merentas laluan tidak diwartakan.
“Kita juga beri peluang kepada ibu bapa untuk memilih sama ada tinggal di asrama atau bersama saudara terdekat dalam sesi libat urus bersama mereka.”
Sebelum ini, media melaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram menyeberangi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.