Lelaki autisme ditemui lemas dalam sungai

Lelaki autisme ditemui lemas dalam sungai

Polis berkata mangsa dilaporkan hilang sejak Khamis lalu sebelum mayatnya ditemui tersangkut pada dahan pokok di anak Sungai Keluang Hilir di Jertih.

Pemangku Ketua Polis Besut Md Sani Md Saleh berkata ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya keluar dari rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa ditemukan lemas. (Gambar Freepik)
JERTIH:
Seorang lelaki autisme yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Khamis, ditemukan lemas di anak Sungai Keluang Hilir, berhampiran Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Besut Md Sani Md Saleh berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat Muhammad Helmi Azman, 26, pada 11.44 pagi.

“Mayat mangsa ditemui tersangkut pada dahan pokok di anak sungai tersebut dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebelum ini polis menerima laporan daripada ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya keluar dari rumah di Taman Persiaran Limbongan iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa ditemukan.

Sementara itu, ibu mangsa, Senah Othman, 64, berkata anaknya keluar dari rumah antara pukul 2.30 hingga 4 petang ketika dia sedang tidur.

“Anak saya penghidap autisme kronik kerana dia tidak mampu bercakap dan kalau terlepas keluar memang dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah.

“Sejak hilang, setiap hari pencarian dilakukan penduduk kampung dan ahli keluarga namun dia hanya ditemui hari ini dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.