
Ketua Polis Pontian, Mohammad Shofee Tayib, berkata wanita terbabit membuat laporan polis kelmarin, selepas mendakwa dia ditipu oleh pelaburan terbabit.
“Mangsa menyatakan telah tertarik dengan pelaburan yang diketahui melalui laman Facebook pada 25 Julai lalu.
“Tawaran keuntungan yang tinggi dan berkali ganda dengan kadar keuntungan lima sehingga 20% berdasarkan jumlah dilaburkan. Ia menyebabkan mangsa tertarik dan mula melabur pada Oktober lalu.
“Mangsa telah membuat beberapa bayaran modal sehingga RM811,500 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata mangsa hanya sedar ditipu selepas wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak dikembalikan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengambil tahu mengenai perkembangan jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan terutama jika ia menjanjikan keuntungan tidak masuk akal.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan,” katanya.