Bersatu wujud sidang meja bulat Gagasan Pendamaian Nasional

Bersatu wujud sidang meja bulat Gagasan Pendamaian Nasional

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan usaha 'memperbetulkan kembali keadaan negara' dengan memfokuskan pelbagai isu termasuk ekonomi dan perpaduan.

muhyiddin
Muhyiddin Yassin turut menggesa pertubuhan Melayu dan Bumiputera menubuhkan badan tunggal memayungi semua NGO untuk memperjuangkan agenda Bumiputera.
SHAH ALAM:
Bersatu akan mengadakan sidang meja bulat yang dinamakan Gagasan Pendamaian Nasional dalam usaha ‘memperbetulkan kembali keadaan negara’, menurut Presidennya Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sidang itu akan memfokuskan isu ekonomi, perpaduan negara, mengembalikan keharmonian kaum dan agama, memartabatkan kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Bumiputera tanpa mengabaikan hak kaum lain.

“Usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada penggabungan atau percantuman parti-parti politik yang berpegang kepada idealisme dan prinsip dan nilai yang sejagat.

“Saya juga menyambut dengan berlapang dada kerjasama yang strategik dengan badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan tokoh-tokoh masyarakat.

“Bersatu yakin dengan kekuatan baharu ini, kita dapat membina semula Malaysia yang gagah, bermaruah dan dapat bersaing dengan negara-negara serantau dan global,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu di IDCC Shah Alam hari ini.

Jelasnya lagi, sidang itu akan disertai aktivis masyarakat, tokoh pelbagai agama, penggiat seni dan budaya, pakar ekonomi untuk mencari titik pertemuan bagi merangka penyelesaian demi kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa pertubuhan Melayu dan Bumiputera menubuhkan badan tunggal memayungi semua NGO melibatkan kaum itu atas satu tujuan dan matlamat untuk memperjuangkan agenda Bumiputera.

“Saya yakin gandingan suara NGO-NGO Melayu dan Bumiputera yang bersatu hati atas dasar penyatuan pemikiran, hati dan tindakan, maka matlamat murni untuk membela kebajikan masyarakat Bumiputera dan memajukan kehidupan mereka akan lebih mudah untuk dicapai.”

Terdahulu, beliau menggesa ahli Bersatu berhenti mencetuskan konflik dengan mengadu domba selepas berakhirnya permilihan parti.

“Jangan kita dilaga-laga, jangan ada yang kerjanya cucuk sana, cucuk sini. Kononnya ada kem itu dan kem ini, ada kumpulan itu dan kumpulan ini yang akan melemah serta memecahkan kita.

“Ini semua karut. Saya tidak akan sekali-kali membenarkan perkara karut ini terjadi dalam parti kita,” katanya di depan lebih 1,300 perwakilan.

Muhyiddin dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini menolak kebimbangan wujud isu “kartel” dalam pemilihan parti lalu yang merujuk perpecahan Bersatu kepada beberapa kumpulan bagi menguasai jawatan.

Beliau berkata, pemerhatiannya mendapati setiap sayap dalam Bersatu “bertaut semula” selepas pemilihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.