
Ahli Parlimen Hassan Karim dalam satu temubual di YouTube berkata Fahmi yang ketika itu berada di Turki mengambil inisiatif untuk berhubung selepas diberitahu tentang kenyataannya.
“Dia merasa ada sesuatu yang mungkin kenyataan saya tidak betul. Dia boleh telefon saya malam. Saya cukup menghargainya,” katanya kepada penemubual, Iswardy Morni.
Beliau membandingkan respons Fahmi dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Mafi) susulan kebimbangan beliau mengenai bekalan beras putih tempatan di pasaran.
“Dalam hal beras, saya nak macam itu juga, beritahu saya salah,” katanya, dan menambah beliau malah sedia dibetulkan di Dewan Rakyat.
“Tujukan kepada saya… saya boleh minta maaf,” katanya.
Dalam episod ‘Hassan Karim – Berprinsip atau Api Dalam Sekam?’ itu juga, wakil rakyat Pasir Gudang itu menjelaskan: “Saya menegur kerana sayang… bukan nak menjahanamkan.”
Pada 24 Nov lalu, Menteri Mohamad Sabu mengumumkan satu jawatankuasa khas sedang disusun bagi mencari penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan yang berlaku ketika ini.
Beliau mengulas pertanyaan pemberita berhubung isu yang dibangkitkan Hassan berkenaan beras putih tempatan yang didakwa sehingga kini hampir tidak terdapat di pasaran, ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Pada sesi 18 Nov lalu, Hassan menggesa Mafi meneliti semula peranan Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras yang dilihat belum dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Beliau mengeluh apa maknanya belanjawan beratus bilion tapi ‘soal makan tak beres lagi’.