Warga emas New Zealand rugi RM216,000 terpedaya pelaburan tak wujud

Warga emas New Zealand rugi RM216,000 terpedaya pelaburan tak wujud

Sejak 3 Okt hingga 25 Okt, mangsa berusia 61 tahun membuat 27 transaksi untuk pelaburan yang dicadangkan suspek.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 61 tahun itu semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas New Zealand kerugian sebanyak RM216,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud bulan lepas.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki berusia 61 tahun itu semalam yang mendakwa mangsa dihubungi oleh seorang lelaki pada 2 Okt lepas.

Suspek kemudian memperkenalkan laman sesawang https://m.worldcoinkk.com kepadanya untuk menyertai pelaburan.

“Mangsa diberi penjelasan mengenai syarat-syarat pelaburan dan dijanjikan keuntungan sebanyak 3-5% sebulan daripada nilai yang dilaburkan,” katanya, lapor Bernama.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan itu bersetuju membuat transaksi secara dalam talian ke satu akaun bank Hong Leong atas nama SPB International Sdn Bhd.”

Balveer Singh berkata, sejak 3 Okt hingga 25 Okt, mangsa membuat 27 transaksi berjumlah RM216,000 untuk pelaburan yang dicadangkan suspek.

Mangsa bagaimanapun enggan membuat pembayaran lagi seperti diminta kerana sedar telah tertipu, sebaliknya membuat laporan polis.

Sehingga masa laporan dibuat, mangsa dilaporkan tidak menerima sebarang keuntungan.

Balveer Singh berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh disebat serta didenda.

“Siasatan juga meliputi penglibatan keldai akaun, jika ada, dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.