
Ahli Parlimen Larut berkata, lagipun Shahidan tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang tawaran kepada parti lain menyertai gabungan itu.
“Tidak ada mandat untuk beliau (Shahidan) bercakap dengan presiden Umno (ajak masuk PN), cuma sebagai kawan tidak salah bercakap, mencadangkan sesuatu yang (perlu) dilakukan ia rasa lebih baik.
“Takkanlah sebab itu presiden Umno kata ada mandat dari pucuk pimpinan PN mengajak begitu,” kata timbalan presiden Bersatu selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan 2024 sayap parti.
Hamzah berkata, selepas perjumpaan dengan Zahid, Shahidan ada memaklumkan butir perbualannya dengan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
“Sekadar berjumpa dalam Parlimen, Shahidan seloroh, takkanlah takut sangat DAP, cakap macam-macam dengan Umno,” katanya.
“Jadi bila beliau cakap begitu, presiden Umno tanya apa yang patut beliau buat, jawapannya keluarlah daripada kerajaan perpaduan. (Zahid tanya) kalau keluar nak tubuh macam mana? (Shahidan jawab) Boleh bersama dengan kami.”
Sebelum ini, Zahid yang juga timbalan perdana menteri mendedahkan wujud usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.
Zahid juga mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemunya dengan cadangan membentuk jajaran baharu kerajaan perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri.
Shahidan pada sidang media di Parlimen kelmarin menjelaskan, beliau tidak perlu menjadi dalang memujuk BN meninggalkan kerajaan ada pemimpin dalam kerajaan hari ini yang ‘lebih dalang’ kerana bekerjasama dengan DAP.
Katanya, bukan lagi rahsia beliau bersama pemimpin PN lain sentiasa mengajak BN bersama membentuk kerajaan baharu atas semangat penyatuan ummah.