
Kedua-dua saksi yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu itu turut beritahu mahkamah bahawa mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana takut mereka juga akan dipukul.
Saksi pendakwaan ketujuh pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri berkata pelajar itu dipukul lima tertuduh iaitu tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima dan keenam di bilik asrama 7 Resak.
“Tertuduh pertama menumbuk perut Ijat (Nazmie), ketika itu Ijat cuba membongkok bagi melindungi badannya daripada dipukul dan reaksi (Nazmie) seperti menahan sakit,” katanya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.
Batrisyia: Semasa kamu nampak tertuduh pertama menumbuk perut Ijat apa yang tertuduh ketiga, keempat, kelima dan keenam lakukan pada ketika itu.
Saksi: Selepas mereka nampak tertuduh pertama pukul, mereka berempat terus turut memukul Ijat.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Nazmie, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi, 22 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Saksi itu berkata dia melihat tertuduh ketiga memukul bahagian kepala, tertuduh kelima dan keenam memukul bahagian badan, manakala tertuduh keempat memukul pelajar itu menggunakan kabel pengecas telefon.
Ditanya lanjut mengenai perbuatan memukul menggunakan kabel pengecas telefon itu, saksi memberitahu tertuduh keempat menggunakan kabel itu bagi melibas bahagian belakang pelajar itu.
Sementara itu dalam keterangannya, saksi itu berkata pada malam itu dia dan Nazmie makan di dewan makan kolej itu dan menunaikan solat tarawih, sebelum mereka berdua pulang ke bilik asrama.
“Kami menuju ke bilik asrama Ijat, tetapi saya selepas itu ke bilik asrama seorang rakan di 6 Belian dan selepas 10 minit saya kembali ke bilik asrama 7 Resak, semasa masuk bilik asrama itu saya lihat Ijat dikerumun kelima-lima tertuduh.
“Mereka tanya berkenaan wang milik tertuduh ketiga dan keempat, saya ada dengar ljat mengaku ada ambil wang milik tertuduh ketiga dan keempat. Waktu itu juga ljat bayar RM50 dan RM20, tetapi semasa bayar, tiba-tiba tertuduh pertama menumbuk perut ljat,” katanya.
Sementara itu, saksi pendakwaan kelapan beritahu mahkamah bahawa dia melihat tertuduh pertama memukul muka Nazmie, manakala tertuduh kelima menolak pelajar itu ke lokar bilik asrama 7 Resak.
Saksi berkata terdapat tiga lagi individu bersama tertuduh pertama dan kelima dalam kejadian itu, namun dia tidak pasti siapa individu terbabit dan tidak ingat apa dilakukan mereka.
Selain Batrisyia, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Ng Juhn Tao.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye; manakala lima lagi tertuduh diwakiliMohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang, dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan disambung esok.