Biar Muhyiddin jadi komander tertinggi PN ke Putrajaya, kata Pemuda Bersatu

Biar Muhyiddin jadi komander tertinggi PN ke Putrajaya, kata Pemuda Bersatu

Hilman Idham berkata Muhyiddin Yassin telah membuktikan kemampuannya apabila menerajui negara dalam suasana mencabar susulan penularan Covid-19.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersama Timbalannya Hamzah Zainudin (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung Azmin Ali (dua dari kanan) menghadiri persidangan Pemuda Bersatu.
SHAH ALAM:
Pemuda Bersatu mencadangkan Presiden Muhyiddin Yassin terus menjadi komander Perikatan Nasional (PN) dalam usaha gabungan itu menawan Putrajaya pada PRU16.

Cadangan itu menyusul selepas ada ‘suara’ daripada pemimpin PN supaya kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi dan ‘poster boy’ atau calon perdana menteri dibincangkan.

Hilman Idham.

Ketuanya Hilman Idham berkata Muhyiddin telah membuktikan kemampuannya apabila menerajui negara dalam suasana mencabar susulan penularan covid-19 pada 2020.

“Armada (Pemuda) Bersatu mahu Presiden kita Muhyiddin Yassin terus menerajui PN ke Putrajaya.

“Kita mahu Tan Sri menjadi supreme komander (komander tertinggi) untuk PN dan Bersatu, setuju atau tidak?,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Pemuda Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan 2024.

“Kalau setuju Tan Sri Muhyiddin adalah komander dan Armada adalah laskarnya. Kita akan berjuang bawa obor Bersatu dan PN.”

Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu menghadiri persidangan Pemuda Bersatu itu.

Minggu lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Naib Presiden Bersatu Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.

Terdahulu, Hilman dalam sidang media mengumumkan pelantikan bekas pegawai khas Zuraida Kamaruddin, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid sebagai ketua penerangan sayap itu.

Turut dilantik Mohd Fahim Mohd Farid dan Nor Zahid Rahim, masing-masing sebagai penolong setiausaha dan penolong bendahari.

Pada pemilihan sayap parti bulan lalu, Hilman mengambil alih jawatan ketua Pemuda Bersatu daripada Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dalam pertembungan dua penjuru.

Beliau memperoleh 1,888 undi, dengan 170 undi mengatasi Akmal Zahin, yang meraih 1,718 undi.

Wan Ahmad Fayhsal pula menang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi penggal 2024-2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.