
Ketua Polis Jasin, Ahmad Jamil Radzi, berkata pemandu teksi S Subbramaniam, 71, serta penumpang Husali Umar, 84, dan Mastura Said, 60, maut di tempat kejadian kira-kira 9 pagi tadi.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang juga pesara peneroka dan suri rumah itu dalam perjalanan menziarahi anak lelaki mereka di Taman Merlimau Perdana.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara berusia 10 tahun yang dipandu Subbramaniam dari arah Jasin menghala Merlimau dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan melanggar tembok jambatan di lokasi kejadian.
“Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit terbakar dan menyebabkan semua mangsa termasuk pasangan suami isteri yang duduk di tempat duduk belakang rentung di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas asli (NGV) yang dipasang pada teksi terbabit akibat rempuhan.
Semua mayat dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun kawalan trafik dan lencongan dilaksanakan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 9.09 pagi sebelum dua jentera dari balai Merlimau dan Jasin Bestari dengan kekuatan 11 anggota serta pegawai digegaskan ke lokasi kejadian.
JBPM Melaka memaklumkan sebaik tiba di lokasi kira-kira 9.16 pagi, teksi itu terbakar 90% dengan tiga mangsa terperangkap dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.