‘Tak dapat elak’ naik premium insurans perubatan, kata persatuan

‘Tak dapat elak’ naik premium insurans perubatan, kata persatuan

Industri insurans dan takaful dikatakan mengalami peningkatan kumulatif sebanyak 56% dalam tuntutan dari 2021 hingga 2023, ‘yang belum pernah berlaku’.

Populasi menua negara ini menyaksikan peningkatan permintaan rawatan perubatan berikutan lebih ramai orang jatuh sakit, menurut syarikat insurans dan pengendali takaful. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peningkatan premium insurans perubatan ‘tidak dapat dielak’ berikutan peningkatan tuntutan dan inflasi perubatan, menurut syarikat insurans dan pengendali takaful.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata, industri insurans dan takaful mengalami peningkatan kumulatif sebanyak 56% dalam tuntutan dari 2021 hingga 2023, ‘yang belum pernah berlaku’.

Mereka berkata, peningkatan premium insurans perubatan turut didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos rawatan perubatan, kemajuan teknologi penjagaan kesihatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dengan semakin ramai pemegang polisi mendapatkan rawatan perubatan, termasuk rawatan pasca pandemik dan pembedahan elektif.

Mereka turut memetik kos operasi lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan swasta dan kelaziman penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kencing manis, yang tinggi, seterusnya meningkatkan permintaan penjagaan jangka panjang.

Persatuan-persatuan itu berkata, populasi menua negara ini juga menyaksikan peningkatan permintaan rawatan perubatan berikutan lebih ramai orang jatuh sakit.

Walaupun syarikat insurans dan pengendali takaful mempunyai kitaran penentuan semula kadar yang berbeza, mereka lazimnya menyemak dan menyelaraskan premium setiap tiga tahun untuk memastikan kemampanan pelan insurans perubatan.

“Kesan terkumpul inflasi tuntutan mengakibatkan peningkatan dalam penyelarasan premium,” kata persatuan-persatuan itu dalam kenyataan bersama.

“Kuantum penentuan semula kadar juga dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti penarafan risiko individu, pengumpulan risiko, faedah dan ciri produk, serta pembayaran tuntutan yang dijangkakan.”

Persatuan-persatuan itu berkata, industri komited menawarkan pilihan bagi pelan perlindungan yang berbeza pada premium atau bayaran caruman yang ‘dibandingkan lebih rendah atau sama’, susulan kebimbangan mengenai peningkatan premium insurans perubatan.

Mereka juga komited menawarkan pelan pembayaran premium atau caruman yang fleksibel kepada pemegang polisi.

Persatuan-persatuan itu berkata, mereka sedang meneliti penyelarasan penentuan semula kadar secara berperingkat untuk menangani impak peningkatan premium insurans perubatan terhadap pelanggan, serta mewujudkan talian penting khusus bagi setiap syarikat untuk memudahkan akses kepada pemegang polisi.

Dilaporkan pada Selasa bahawa premium insurans perubatan dijangka meningkat sebanyak 40% hingga 70% tahun depan, dengan beberapa pemegang polisi memilih menamatkan polisi kerana tidak mampu menanggung kos premium bulanan yang semakin meningkat.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kenaikan yang akan berlaku itu berdasarkan notis yang dihantar oleh syarikat insurans kepada pemegang polisi, dikatakan ekoran peningkatan kos penjagaan kesihatan di hospital swasta.

Awal hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful menyemak strategi penentuan semula kadar mereka untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.